CUIC - UUM: Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Nizam Mohamed Nadzri telah berkongsi pengalaman dan kepakaran sepanjang berada dalam industri pada program UUM Talks Strategic Matters - Leading A Corporate Transformation: The Journey of Malaysia Debt Ventures Berhad di Studio Unit Pasca Siswazah UUM COB, kelmarin.
Pada sesi tersebut, beliau mengulas tentang perkembangan serta transformasi yang dilaksanakan MDV dalam tempoh masa 2018 - 2025.
Menurutnya, MDV ditubuhkan pada 2002 dengan objektif untuk menyediakan kemudahan pinjaman dan pembiayaan Islam yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor ekonomi berimpak tinggi yang dipacu teknologi dan diberi keutamaan oleh kerajaan sebagai enjin pertumbuhan masa depan.
“Seiring dengan kemajuan negara, MDV berkembang termasuk ICT, bioteknologi dan teknologi hijau, selain menyokong agenda teknologi negara dan meningkatkan kejayaan syarikat teknologi Malaysia dengan menyediakan akses kepada pembiayaan, penyelesaian pembiayaan yang inovatif dan fleksibel, program pembiayaan khusus, kepakaran industri dan khidmat nasihat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama startegik dengan MDV yang mempunyai ilmu dan kepakaran untuk dikongsikan bersama di samping menggerakkan agenda Sains, Teknologi dan Matematik (STEM).
Menurutnya, UUM Talks Strategic Matters ini boleh menyumbang kepada kerjasama menjalin hubungan yang erat dengan industri dan UUM sedia menawarkan kekuatan yang ada di pusat pengajian yang ada dalam kampus ini.
Katanya, program itu menyediakan platform kepada industri terkemuka tanah air untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan objektif untuk meningkatkan motivasi dan memberi inspirasi kepada warga UUM ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka.
Pada sesi itu, beliau telah menyampaikan surat pelantikan Ahli Majlis Penasihatan University- Industri kepada Nizam Mohamed Nadzri.