All News

PROGRAM BERSAMA FAKULTI INDUSTRI ‘SCHOOL OF HARD KNOCKS’ (SoHK) BAWA NTV7 KE KAMPUS

SOHK

 

CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) melalui inisiatif School Of Hard Knocks (SoHK) telah mengadakan Bengkel On-Boarding dengan salah satu daripada sepuluh Fakulti Industri SoHK iaitu Natseven Sdn. Bhd. (NTV7), baru-baru ini.

Program selama dua yang diadakan di Pusat Budaya dan Seni itu dikendalikan oleh CEO NTV7, Seelan Paul dan disertai oleh 28 orang pelajar (Padawan NTV7).

Program ini merupakan kerjasama pertama di antara Fakulti Industri dan Padawan sejurus selepas proses pemilihan dilakukan oleh NTV7.

Sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan dengan ilmu, strategi dan pengalaman berkaitan pemasaran, penjenamaan dan penghasilan kandungan (content creation) menerusi modul-modul yang disampaikan oleh Seelan Paul.

Salah seorang Padawan, Muhammad Afiq Aimin berkata, program seperti ini amat membantu sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran dalam industri khususnya seperti industri penyiaran dan hiburan.

Menurutnya, program bersama Seelan Paul itu sangat mengujakan dan berbeza dari apa yang dipelajari di dalam kuliah yang banyak menekankan kepada teori.

Seorang lagi Padawan, Nur Fatin Nabila berkata, program tersebut sangat menarik dan informatif, selain mereka berpeluang mempelajari ilmu daripada seorang selebriti yang berpengalaman.

Sementaar itu, Seelan Paul menyatakan rasa gembira kerana dapat hadir ke bumi Sintok dan menjayakan program bersama para Padawan di UUM.

“Saya sangat berharap dapat membantu dalam berkongsi ilmu dan pengalaman kepada Padawan UUM menerusi program SoHK dan terus menjayakan objektif program.

“Layanan yang baik daripada CUIC dan seluruh warga kampus membuatkan saya terharu selain bersemangat untuk menjayakan kolaborasi ini bersama UUM,” katanya.

Selain menjayakan progam bersama para Padawan, wakil-wakil daripada NTV7 turut berkesempatan melawat ke Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif & Seni Persembahan (SCIMPA) dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi (SMMTC) bagi melihat sendiri kemudahan studio serta fasiliti lain yang disediakan kepada para pelajar khususnya dalam bidang penyiaran dan teknologi media.

Turut hadir pada program ini adalah Pengarah CUIC, Dr. Shahrina Othman; Pengarah Bahagian Pemasaran, Norazlin Abdul Jalil dan sekreteriat terdiri daripada staf CUIC.