CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) meneruskan lagi hasrat murni dalam menyantuni warga kampus dan masyarakat setempat dengan pelaksanaan CUIC Berkongsi Rezeki bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan, baru-baru ini.
Pengarah dan staf CUIC berganding bahu dengan kerjasama Pusat Islam membuat persediaan dan memasak bubur lambuk seawal jam 8.00 pagi.
Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman berkata, program ini diadakan bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan kerjasama antara staf CUIC.
Katanya, sebanyak 400 bekas bubur lambuk diagihkan kepada anggota polis dan imigresen di sempadan Malaysia-Thailand, staf Bank Islam UUM, petugas di Hospital Jitra, Balai Polis Changlun, IPD Kubang Pasu, staf UUM, surau-surau dan masyarakat setempat.
“Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial UUM Milik Rakyat bersama masyarakat setempat, selain menghargai sumbangan serta pengorbanan mereka yang bertugas mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam,” ujarnya.