All News

BAKUL RAYA AIDILFITRI: CUIC SANTUNI BEKAS STAF UUM, PDRM DAN GOLONGAN ASNAF

BERITA BAKUL RAYA

 

CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri CUIC) telah mengambil inisiatif bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan sebanyak 60 bakul makanan sempena Program ‘CUIC Berkongsi Rezeki: Bakul Raya Aidilfitri’ di sekitar Kubang Pasu.

Pengarah CUIC,  Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah berkata, pada program itu, mereka telah mengunjungi rumah pesara UUM dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang sakit atau uzur serta golongan asnaf.

Menurutnya, program ini diadakan khusus bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, CUIC telah menyediakan bakul makanan berupa barang keperluan dapur yang diedarkan ke beberapa kawasan seperti Kampung Darat, Kampung Changkat Setol, Taman Beringin dan kawasan sekitarnya.

”Saya berharap mereka yang memerlukan bantuan seperti ini dapat menikmati kemeriahan sambutan perayaan yang bakal menjelang.

”Program ini juga telah menjadi ruang kepada semua staf CUIC yang terlibat untuk menabur bakti kepada masyarakat, selain menimba pengalaman melalui aktiviti kesukarelawanan,” ujarnya.

Salah seorang penerima Bakul Raya Aidilfitri, Muhamad Zambri Md. Isa yang merupakan bekas staf di Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) yang menghidap penyakit strok dan jantung.

Sementara itu, salah seorang penerima dari Kampung Darat, Bakar Ahmad, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada UUM kerana menyampaikan sumbangan itu kepada dia sekeluarga.

”Pemberian ini dapat meringankan beban perbelanjaan dalam menyediakan juadah berbuka puasa serta keperluan raya nanti,” katanya.