All News

AHLI MPUI DISERU BANTU UUM KEKAL RELEVAN

MPUI

 

CUIC-UUM: Kuala Lumpur - Pemain industri dalam Majlis Penasihatan Universiti-Industri, Universiti Utara Malaysia (MPUI-UUM) diminta untuk bekerjasama dan membantu UUM untuk terus relevan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, untuk terus kekal relevan beliau percaya kolaborasi bersama industri akan dapat menjayakan hasrat tersebut.

Beliau turut percaya mesyuarat ini akan membawa kepada satu pendekatan ke arah kerjasama dengan industri agar dapat terus cemerlang.

Katanya, usaha UUM untuk cemerlang bukan sahaja untuk mengejar ranking malah dalam semua bidang dan beliau yakin ‘big things’ dapat dicapai bersama dengan adanya MPUI.

“Universiti ini tidak kaya tetapi mempunyai kesungguhan, tidak lemah tetapi ada keberanian, justeru saya berharap pemain industri meletakkan kepercayaan kepada UUM untuk mencapai segala kecemerlangan.

“Kita mahu industri menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan yang UUM bakal kecapi kerana universiti ini mempunyai semangat dan kekuatan tersendiri meskipun berada jauh di utara tanah air.

“UUM ingin menjadi lebih baik melalui MPUI dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh termasuk masyarakat luar, pelajar mahupun pembayar cukai,” katanya pada Mesyuarat MPUI-UUM, semalam.

Tambah Haim Hilman, beliau ingin mengajak pihak industri bersama-sama menjadi sebahagian dalam perjalanan UUM membangunkan anak bangsa tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berharap dalam mesyuarat itu, pihak universiti akan mendapat nasihat, idea dan pandangan daripada industri agar UUM dapat membuat satu gambaran hebat untuk generasi masa hadapan.

“Saya juga mengalu-alukan pihak industri yang hadir menjadi rakan strategik dan menjalinkan kerjasama bersama universiti seperti pemeteraian MoU agar lebih banyak aktiviti dapat dijalankan secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman berkata, signifikan peranan MPUI-UUM yang ditubuhkan pada 2012 bertujuan untuk mendapatkan nasihat berhubung dengan keperluan terkini industri bagi keperluan di peringkat akademik, penyelidikan, perundingan, pengkomersialan serta penawaran program pengajian di UUM.

Menurutnya, mesyuarat kali pertama bagi tahun ini memfokuskan kepada tiga bidang kritikal iaitu pembangunan komuniti dan kolaborasi industri; kecemerlangan akademik (kurikulum, geran penyelidikan, kebolehpasaran graduan) dan kelestarian kewangan.

Katanya lagi, UUM yakin penglibatan berterusan MPUI-UUM akan mengukuhkan ekosistem universiti untuk meletakkan UUM dalam kedudukan yang baik di masa depan dan memastikan kesediaan memacu universiti ke arah pencapaian yang lebih besar.

Di akhir mesyuarat, resolusi hasil perbincangan meja bulat (RTD) telah diserahkan kepada Haim Hilman oleh Siti Zubaidah.

Antara cadangan resolusi adalah melatih pelajar untuk berfikir secara analitikal merentasi semua program untuk diterapkan dalam kursus, penempatan pelajar dengan industri berkaitan dan kerjasama dengan industri secara konsisten, selain UUM menjadi penganjur dalam program pembangunan belia melalui kerjasama bersama industri.

Bagi kelestarian kewangan universiti pula, resolusi yang dicadangkan adalah pengewangan aset universiti menggunakan sumber perkhidmatan luar universiti bagi mengurangkan kos penyelenggaraan, di samping meletakkan sasaran untuk meningkatkan dana endowmen melalui sumber daripada alumni dan Inapan Siswa.