CUIC-UUM : Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) berbesar hati menerima kehadiran delegasi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi lawatan Penanda Aras pada 24 Mei 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Akademik (HEA). Delegasi UiTM diketuai oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM Shah Alam bersama 19 orang wakil dari Shah Alam dan beberapa cawangan UiTM termasuklah Timbalan Rektor, Pengarah, Koordinator dan pegawai-pegawai dari UiTM cawangan Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Tujuan lawatan ini adalah untuk berkongsi idea dan pengalaman secara umum berkenaan pengurusan dan pelaksanaan projek libatsama komuniti dan penyelidikan untuk memenuhi keperluan MyRA. Perbincangan diketuai oleh Prof. Dr. Shahimi Mohtar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Turut serta dalam perbincangan tersebut adalah Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar dan pegawai-pegawai mereka.
Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak UiTM berminat untuk menjalinkan hubungan kerjasama bersama UUM dalam aspek penyelidikan, inovasi dan jaringan komuniti, serta meluaskan rangkaian dan mengeratkan hubungan antara CUIC, RIMC, dan ICC dengan pihak luar dalam pelbagai inisitif dan aktiviti projek libatsama komuniti dan penyelidikan di kalangan pensyarah UUM dan UiTM. Delegasi turut dibawa melawat ke Anjung Tamu dan Muzium Pengurusan.
Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman, Pengarah, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) juga berharap agar program lawatan ini dapat mencapai matlamat dan berupaya untuk memantapkan lagi pelaksanaan projek komuniti, penyelidikan dan inovasi pada masa akan datang, selain mengukuhkan hubungan kerjasama antara UUM dan UiTM.
Sekian.