All News

CUIC TINGKATKAN KESEDARAN KESELAMATAN DI PEJABAT

OSH

 

CUIC TINGKATKAN KESEDARAN KESELAMATAN DI PEJABAT
 
Oleh: Mohd Nizam Mansor dan Muhammad Husaini Salleh
Gambar oleh: Staf CUIC
 
Selaras dengan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Utara Malaysia, Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Sembang Kopi O Cicah Biskut – Keselamatan Ditempat Kerja yang telah diadakan baru-baru ini.
 
Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada kesemua kakitangan CUIC mengenai kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Membudayakan keselamatan di tempat kerja merupakan pelaburan yang sangat penting bagi sesebuah organisasi bagi memastikan keselamatan di tempat kerja sentiasa terjamin dan kelancaran operasi kerja.
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan satu bidang yang bertujuan melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta majikan. Keselamatan dan kesihatan tempat kerja merupakan suatu aspek penting dalam sesebuah organisasi. Ia merupakan salah satu tanggungjawab majikan di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk mengambil berat tentang keselamatan dan kesihatan para pekerja ketika bekerja di sesebuah organisasi.
 
Pengarah program iaitu En. Mohd Nizam Mansor berkata tujuan utama program ini diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, penglibatan dan komitmen kakitangan terhadap keselamatan, kesihatan dan keperluan persekitaran, amalan serta peraturan dan undang-undang secara berterusan. Selain itu, program ini diharapkan dapat menanamkan budaya amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran dalam operasi harian untuk meningkatkan keberkesanan menjangkakan sebarang bentuk risiko di tempat kerja.
 
Ceramah keselamatan ditempat kerja ini telah disampaikan oleh En Mazlan Ismail Penolong Pegawai Keselamata, Jabatan Keselamatan UUM yang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat (BOMBA).