All News

CUIC BERSAMA JAS TERAPKAN KONSEP INOVASI SOSIAL TERHADAP ALAM SEKITAR DI TABIKA KEMAS FELDA BUKIT TANGGA

TADIKA KEMAS

 

Berita oleh : Sharifah Musa
Gambar : Pusat Kerjasama Universiti-Industri
 
CUIC-UUM : Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengambil inisiatif dalam pelaksanaan program kesedaran alam sekitar dengan menjalankan inovasi melalui kaedah siraman pokok menggunakan auto plan save watering yang disertai oleh pelajar Tabika Kemas Felda Bukit Tangga seramai 43 orang. Selain itu, program ini turut diselitkan dengan sesi taklimat alam sekitar bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah.
 
Taklimat yang telah disampaikan oleh Puan Faiizah binti Md Arshad, Penolong Pegawai Kawalan Alam Sekitar Unit Pendidikan dan Pengawasan Alam Sekitar, Bahagian Pembangunan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Negeri Kedah turut memberi pendedahan kepada 43 orang pelajar Tabika Felda Bukit Tangga mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.
 
Pelaksanaan program ini adalah rentetan perbincangan kerjasama bersama JAS pada 8 Jun 2022 yang lalu bagi pelaksanaan projek komuniti dengan menyelitkan elemen inovasi sosial selaras dengan hasrat negara yang memerlukan strategi dan pendekatan baru yang lebih holistik dan bersepadu ke arah menangani ketidakcekapan penggunaan tenaga dan krisis alam sekitar yang saban hari kian membimbangkan. Natijahnya telah dapat kita lihat pada hari ini apabila bencana alam berlaku secara berleluasa diserata dunia lantaran keseimbangan alam yang semakin tergugat.
 
Menurut Cikgu Rusmariyani, selaku guru tabika sangat berbesar hati menerima kehadiran warga CUIC dan berharap program-program seperti ini akan terus dilaksanakan dalam usaha memberi kesedaran kepada pelajar dari peringkat bawah mengenai kesedaran alam sekitar.