All News

PROGRAM PLOGGING SEMPENA PROGRAM JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA PERINGKAT NEGERI KEDAH

trash hero

 

CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dan sukarelawan pelajar UUM telah menimba pengalaman menarik apabila turun padang bersama-sama penduduk Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar Kedah bagi menjayakan program Plogging iaitu aktiviti jogging sambil mengutip sampah sepanjang laluan sempena pelaksanaan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman berkata, usaha ini adalah kerjasama CUIC, dan sukarelawan pelajar UUM sebagai inisiatif khidmat masyarakat dengan mengutip sampah sarap di kampung tersebut. “Kita perlu bersahabat dengan alam dan setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan alam, apabila gotong-royong ini dilakukan secara bersama impaknya lebih besar serta dapat memberi manfaat kepada semua.

Program Plogging merupakan satu inisiatif khas CUIC untuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjoging sambil mengutip sampah selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar. Program Plogging bukan sahaja melibatkan pengumpulan sampah dan pembersihan kawasan setempat tetapi juga terlibat dalam memberi ceramah kesedaran (knowledge transfer) kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga alam sekitar yang turut disampaikan oleh Encik Mohd Khairone Md Khatidin, Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Program ini disambut baik sempena pelaksanaan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah yang bermula pada 2 hingga 4 September 2022.

Menurut salah seorang penduduk Imam Masjid Al Hussain, Kampung Seberang Pumpong, Ustaz Hidayat Zulkifli yang menyifatkan program ini telah berjaya menyuntik kesedaran untuk menghargai dan melindungi alam sekitar dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda yang akan menyambung warisan kelak.

Muhammad Amin merupakan sukarelawan pelajar UUM pula berkata “tindakan utama yang perlu diambil oleh setiap orang, katakan tidak pada penggunaan plastik dan straw serta mendidik masyarakat supaya mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan tin. "Sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula seperti batang straw, beg plastik, pembungkus gula-gula, ais krim, coklat, keropok dan sebagainya akan dijadikan 'ecobrick' (plastik botol diisi sampah plastik)," katanya selepas program tamat.

Turut hadir dalam program ini adalah, Encik Abdul Wahab Mat Isa, Koordinator Program Kembara DiRaja Kedah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Al-Hussain Kg. Seberang Pumpong seramai 20 orang. Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 2.00 petang.