Berita oleh : Sharifah Musa
Gambar : Pusat Kerjasama Universiti-Industri
CUIC-UUM : 12 Januari 2023, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah menerima kunjungan daripada 101 orang pelajar dan 3 orang pensyarah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perlis yang ketua oleh Dr. Sharifah Khairol Musairah binti Syed Abdul Mutalib. Program ini bertujuan untuk membuka ruang kerjasama antara UiTM Perlis bersama UUM dalam pelbagai aspek serta memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan program libatsama komuniti dan industri selaras dengan tanggungjawab CUIC. Sesi dimulakan dengan taklimat berkaitan fungsi-fungsi pusat tanggungjawab serta kemudahan infrastruktur serta keistimewaan yang terdapat di UUM yang disampaikan oleh Pegawai di Anjung Tamu.
Seterusnya para pelajar dibawa ke Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM bagi mendengar sesi ceramah. Program ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman, selaku Pengarah CUIC dan seterusnya ceramah sesi 1 berkaitan Perubahan Organisasi dan Pembangunan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal bin Mohd Isa, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), SBM.
Ceramah diteruskan oleh En. Wan Ahmad Muizz bin Wan Ibrahim, Pegawai Teknologi Maklumat, UUMIT serta En. Salehuddin bin Salim, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan. Manakala ceramah sesi 2 diteruskan dengan ceramah oleh En. Abdul Shakur Bin Abdullah, Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar berkaitan Pengalaman UUM dalam Pengurusan Sumber Manusia.
Salah seorang pelajar, Nur Nabila binti Adim berkata beliau sangat teruja ketika menjejaki kaki ke UUM kerana berpeluang untuk menambah pengetahuan serta menyuntik semangat beliau untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi di UUM kelak.
Program tersebut tamat kira-kira jam 3.30 petang dan berakhir dengan penyampaian cenderahati antara CUIC,UUM dan UiTM Perlis dan seterusnya sesi gambar beramai-ramai.