CUIC-UUM: Program Kelestarian Alam Sekitar baru-baru ini merupakan satu usaha Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) ke arah menjayakan inisiatif penghijauan alam sekitar.
Program penanaman pokok ini diadakan di Surau Batu Sungai, Bukit Kachi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran staf dan masyarakat sekitar kampus mengenai pentingnya penjagaan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan hidup manusia, selain sebagai usaha menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Program ini juga bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab staf dalam penanaman pokok sekali gus memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran dalam mengatasi cabaran Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-15 khususnya berkaitan hidupan darat.
Selain itu, program penanaman pokok hari ini adalah aktiviti yang dapat memberikan kesan positif yang signifikan terhadap kehidupan seharian kita dan juga pada masa akan datang. Aktiviti ini adalah satu langkah dalam mengatasi kesan perubahan iklim yang memberi kesan kepada bumi kita hari ini. Program ini juga memberi manfaat kepada komuniti setempat iaitu pelajar, keluarga dan penduduk Bukit Kachi.
Menurut Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman “program sebegini amat penting bagi memberi pendedahan kepada para staf mengenai kepentingan menanam pokok untuk menghijaukan bumi dan alam sekitar demi generasi akan datang. ”.