All News

MoU UUM dan Maybank beri implikasi positif dalam pendidikan tinggi

MoU Maybank

 

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

 

SINTOK: Kolaborasi strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) diyakini mampu memberikan implikasi positif dalam bidang pendidikan tinggi negara, khususnya di UUM dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama yang terjalin menerusi pemeteraian MoU antara UUM dan Maybank itu dijangka dapat menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara, seterusnya memberikan implikasi positif kepada kedua pihak seperti pemindahan pengetahuan, pembangunan bakat serta memacu pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi.

Menurutnya, antara implikasi positif dari kerjasama ini dari aspek pemindahan pengetahuan ialah pihak universiti akan menyumbang penemuan penyelidikan, rangka kerja teori dan kepakaran akademik, manakala industri membawa pandangan praktikal, trend pasaran dan pengetahuan khusus industri.

“Dari segi pembangunan bakat pula, pihak industri kini telah membuka peluang dengan menyediakan latihan industri dengan membolehkan pelajar memperoleh pengalaman praktikal dan bekerja dalam suasana sebenar, seterusnya membangunkan kemahiran yang berkaitan dengan industri serta meningkatkan kebolehpasaran pelajar.

“Kolaborasi strategik ini juga membantu dalam pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi di mana universiti dan industri berupaya untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan, membangunkan produk dan perkhidmatan baru serta menyumbang kepada penciptaan pekerjaan,” katanya.

Tambah Dr. Mohd Foad, pemeteraian MoU ini menandakan satu pencapaian penting kepada UUM dalam usaha mengukuhkan jaringan strategik dengan pihak industri dan universiti serta merupakan salah satu agenda penting di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Di samping itu, katanya lagi, ia turut menjadi sebahagian dari Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penting dalam Teras 3 di dalam Pelan Strategik Universiti di mana Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) menjadi pintu utama bagi melestarikan hubungan universiti, industri dan komuniti.

MoU antara UUM dan Maybank telah ditandatangani Dr. Mohd Foad, manakala Maybank diwakili Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Datuk Nora Abd Manaf dengan disaksikan Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dan Ketua, Group Resourcing Centre, Marlin Ahmad Nordin di Studio Pascasiswazah OYAGSB, hari ini.

Sementara itu, Nora merakamkan penghargaan atas kesudian UUM memberikan peluang kepada Maybank untuk meneruskan kerjasama yang sangat bermakna itu.

“Ini menunjukkan iltizam Maybank untuk mengukuhkan kolaborasi dengan UUM khususnya dengan memainkan peranan penting dalam negara dan ekosistem kita.

“Di Maybank, kita sentiasa ingin pastikan kebolehpasaran anak muda untuk memenuhi keperluan industri dengan mengadakan pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan seperti program Maybank Go Ahead Challenge (MGAC), Maybank Young Bankers Internship Programme (MYBIP) serta berkongsi amalan terbaik organisasi,” katanya.

Pada majlis itu, turut disampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Nora sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).