All News

BINA KARAKTER KETIKA DI UNIVERSITI – DATUK NORA

tiger dash2

 

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

 

Sintok: Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Dato’ Nora Abd Manaf menasihati pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) supaya membina  karakter termasuk nilai dan integriti diri ketika masih bergelar mahasiswa.

Beliau yang juga Profesor Adjung UUM berkata,  banyak aktiviti yang diadakan di universiti sama ada anjuran universiti atau industri memberi manfaat kepada pelajar.

Sebagai contoh, katanya,  Maybank X UUM Tiger Dash sarat dengan pelbagai aktiviti mencabar, dan menguji minda di samping memantapkan kerja berpasukan serta meningkatkan kreativiti para mahasiswa. 

“Kejayaan seseorang bergantung kepada nilai dan karakter yang dibina, sedangkan faktor kejayaan lain diwarisi daripada keturunan atau budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program tahunan Maybank, Tiger Dash di Varsity Mall, UUM yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Nora berkata, Maybank menyediakan pelbagai sumber dan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman berharga, membangunkan kemahiran mereka dan memulakan kerjaya mereka justeru manfaatkan peluang ini sepenuhnya.

Beliau turut memberikan kata-kata inspirasi kepada semua peserta serta merakamkan   penghargaan dan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat. 

Sementara itu, Dr. Mohd Foad berkata, penglibatan Maybank dalam aktiviti pelajar akan mengeratkan hubungan perbankan terulung di negara ini dengan para pelajar UUM.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Nora dan pihak Maybank di atas inisiatif ini juga kepada Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang turut secara langsung menjayakan program Maybank Day@UUM 2023,” ujarnya.

Pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi yang juga ‘Maybank Student Ambassador’, Muhammad Danish Itqan Azli pula berkata, program ini sarat dengan pelbagai aktiviti yang mencabar dan menguji minda.

“Maybank sentiasa menjadi penyokong kuat untuk pembangunan dan pemerkasaan pelajar rata-ratanya teruja serta bermotivasi yang jelas terpancar ketika menyertai acara ini. 

“Kita sedia maklum bahawa Maybank amatlah cakna terhadap pembangunan remaja di negara kita ini contohnya kita dapat lihat Datuk Nora sebagai pihak pengurusan tertinggi Maybank sanggup turun padang bagi menjayakan program ini,” ujarnya.