UUM Sintok, 1 Ogos 2023: Satu mesyuarat penyelarasan hubungan industri di antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) berlangsung pada pukul 2.00 petang di Bilik Mesyuarat Kedah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, UUM. Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil dari JPT, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UUM, Dekan dan wakil Dekan, Pegawai Hubungan Industri (ILO) dari pusat pengajian serta Pengarah dan staf Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), UUM.
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sharil bin Abdullah, Pengarah Bahagian Hubungan Industri, JPT berlangsung bagi menyampaikan dan menyelaraskan kehendak JPT terhadap pihak universiti. Antara fokus utama yang diperbincangkan adalah cara mengukuhkan jaringan kolaborasi antara universiti dan industri, memantapkan ekosistem perkongsian industi-universiti serta memperkasakan keberhasilan kerjasama industri-universiti.
“Universiti perlu menjaga hubungan baik secara berpanjangan dengan pihak industri walaupun berlaku perubahan pentadbiran supaya komunikasi tidak terputus. Hal ini kerana amatlah sukar untuk membina semula keyakinan dan kepercayaan jika terpaksa membina semula hubungan tersebut dari awal”, ujarnya.
Beliau juga turut menghargai inisiatif UUM dengan pembentukan Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) yang bertujuan untuk mendapatkan nasihat berhubung dengan keperluan terkini industri bagi keperluan di peringkat akademik, penyelidikan, perundingan, pengkomersialan serta penawaran program pengajian di UUM.