All News

UUM-MMC JALIN KERJASAMA UNIVERSITI DAN INDUSTRI

BERITA UUM MMC

 

Oleh: Siti Nazirah Jaya

Gambar oleh: Lizayati Abu Hassan

 

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) berusaha meningkatkan aktiviti jaringan universiti dan industri dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas MMC Corporation Berhad (MMC), baru-baru ini.

Kedatangan delegasi CUIC diketuai Pengarah, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam telah disambut Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh bersama Ketua Kumpulan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Ainul Raihan Ahmad.

Antara agenda serta isi perbincangan adalah berkaitan dengan penempatan baharu bagi program CEO@Faculty 2.0: Coached By The Pros, penglibatan MMC dalam program CEO@Faculty 3.0 serta potensi bagi kolaborasi penyelidikan dan pembangunan staf dan pelajar.

Pada pertemuan itu juga, Che Khalib merupakan seorang tokoh ternama dalam bidang perniagaan dan korporat di Malaysia memberikan beberapa idea berkaitan penjanaan kewangan universiti.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam beberapa syarikat dan organisasi terkenal, selain berpengalaman luas dalam pengurusan dan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan pertumbuhan syarikat-syarikat di bawah naungan beliau.

Di akhir perbincangan, MMC telah menyatakan keterbukaan untuk berkolaborasi dengan UUM di mana kerjasama ini bakal mengukuhkan lagi jaringan antara universiti-industri.

Hadir sama, Timbalan Pengarah CUIC (Jaringan Industri), Dr. Normalisa Md Isa.