Gambar Oleh : Mohd Nizam Mansor
Berita oleh : Azmin Syiham Bin Ahmad Shatir
CUIC, UUM: 22 Ogos 2023, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), menjalankan aktiviti penanaman Pokok Bakau bersempena semangat Bulan Kemerdekaan di kawasan Paya Bakau Sungai Kilim, Mukim Air Hangat, Langkawi.
Program ini dijalankan bagi menyahut saranan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang meletakkan sasaran sebanyak 2,000 Pokok Bakau akan ditanam di sekitar Langkawi pada tahun 2023.
Penolong Naib Canselor,UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri hadir mewakili Naib Canselor berkata, penanaman pokok-pokok itu penting dalam menjaga pesisiran pantai daripada ancaman hakisan arus ombak yang kuat selain memelihara ekosistem di Paya Bakau Sungai Kilim ini.
“Bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, program seperti ini amatlah bersesuaian kerana ianya dapat memupuk semangat patriotik dan cintakan negara sambil dapat bekerjasama antara universiti, industri dan komuniti untuk memastikan kelestarian flora dan fauna di Malaysia sentiasa terjaga,” ujarnya lagi.
Program yang dijalankan dengan kerjasama pihak Kumpulan Affin Bank Berhad dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) ini, berjaya menyemai benih dan menanam Pokok Bakau yang terdiri daripada dua spesies iaitu Rhizophora Apiculata (bakau minyak) dan Rhizophora Mucronata (bakau kurap).
Program yang berjaya mengumpulkan lebih 50 orang yang terdiri daripada staf dan pelajar UUM, AFFIN dan LADA ini, diakhiri dengan kibaran Jalur Gemilang dan laungan Merdeka oleh semua peserta simbolik sambutan Merdeka yang ke-66.