All News

10 CEO BINCANG DAN NASIHAT UNTUK KECEMERLANGAN UUM

PIC MPUI

 

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghimpunkan 10 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi membincangkan hala tuju dalam meneruskan visi dan misi universiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, hubungan industri dan universiti sangat penting kerana universiti mahu lebih maju, berdaya tahan dan berjaya pada masa hadapan dengan adanya kerjasama tersebut.

Katanya, pandangan dan komen pihak industri dalam perancangan universiti diambil kira dalam pencapaian universiti untuk menjadi lebih menyerlah di pentas dunia pendidikan.

Beliau berkata, ini kerana pihak industri boleh memainkan peranan bagi membantu universiti dalam aspek kecemerlangan akademik, pembangunan komuniti dan kelestarian kewangan.

“Kami juga bergantung kepada dana luar untuk melaksanakan tugas dan kerjasama dengan industri akan membolehkan UUM bergerak lebih cepat dan pantas bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Oleh itu, saya menyeru supaya CEO yang berada dalam MPUI ini terus bersama UUM dan meneruskan usaha memberi idea, pandangan dan buah fikiran dalam pelbagai aspek,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar; Penolong Naib Canselor UUM CAS,  Prof. Dr. Osman Ghazali; Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Ketua Kampus UUM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Norlena Hasnan dan pegawai kanan universiti.

Antara CEO yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics Group Sdn. Bhd, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio; Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Thomas Mathew dan Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Naguib Mohd Nor.

CEO lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Natseven TV Sdn. Bhd. (NTV7), Seelan Paul; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Debt Ventures Berhad, Nizam Mohamed Nadzri dan Pengarah Eksekutif THB Power Sdn. Bhd, Liew Seong Yan.

Selain itu, Pengurus Besar Education Vertical and Sales TM One, Iskandar Iskak; Pengasas AKRAB Resources Sdn Bhd, Raja Azura Raja Mahayuddin; Naib Presiden Malaysian Employers Federation (MEF), Mohd Farid Mohd Basir dan Ketua Pegawai Eksekutif The Batik Boutique, Amy Blair.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, UUM, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, pihaknya menjalankan tugas untuk memantapkan hubungan baik dengan pihak industri kerana kerjasama ini banyak membantu pengurusan universiti, pensyarah dan pelajar memahami peranan kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata, sumbangan industri dalam pembangunan UUM adalah dihargai dan mesyuarat MPUI kali ini mencapai sasaran kerana hampir semua CEO memberi idea dan berbincang tentang semua aspek termasuk kecemerlangan akademik dan persediaan pelajar menuju ke dunia pekerjaan sebenar.