Yayasan Bank Rakyat didaftarkan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dalam bidang pendidikan serta pembangunan modal insan. Selain daripada menfokuskan kepada peningkatan tahap pendidikan rakyat Malaysia, ia juga memberi penekanan kepada meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat.
Selari dengan hasrat memasyarakatkan universiti pihak Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan pertemuan ringkas dengan pihak Pengurusan Yayasan Bank Rakyat untuk melihat kepada ruang dan peluang untuk berkerjasama. Ia tertumpu kepada inisiatif pemindahan ilmu untuk memasyarakatkan universiti dengan fokus utama kepada peningkatan pendapatan di samping menfokus kepada aspek peningkatan pengetahuan serta pembelajaran sepanjang hayat.
Pengarah CUIC telah membentangkan beberapa konsep pemindahan ilmu yang berjaya dan sedang dijalankan di Universiti Utara Malaysia dan pihak Yayasan menerima baik dan terbuka untuk melihat bagaimana kerjasama antara dua pihak dapat direalisasikan. Prof Dr. Chandrakantan Subramaniam berpendapat bahawa tenaga akademik Universiti Utara Malaysia harus mengambil peluang untuk lebih memperbanyakkan lagi inisiatif pemindahan ilmu untuk membantu rakyat di sekeliling Lembah Sintok secara khusus dan sekitar Kedah amnya. Pertemuan tersebut di hadiri oleh En. Mohd Mukhti Abd Rahman, Ketua Bahagian Operasi serta Encik Muhammad Khalil Kader Mydin, Pengurus Jabatan Program manakala Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam mewakili Universiti Utara Malaysia.