CUIC-UUM, 26 MEI 2024 – Satu Program Cegah Denggi 2024 telah dianjurkan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) bersama penduduk setempat Teluk Bayu, Kuala Muda Kedah. Program ini dianjurkan bagi melibatkan aktiviti pengutipan sampah dan pembersihan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar pelantar ternakan dan kawasan sekitar Teluk Bayu, Kuala Sungai Muda, Kedah. Program ini juga adalah satu usaha CUIC untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan penempatan dan peka dengan kebersihan kawasan sekeliling bagi mengelak punca kecederaan dan terdedah kepada pelbagai penyakit.
Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam Pengarah CUIC berkata penerimaan daripada komuniti Teluk Bayu amatlah baik serta kerjasama yang diberikan mereka membantu melancarkan dan memastikan objektif penganjuran program tercapai.
’Penganjuran program seperti ini mampu memberi pendedahan kepada warga CUIC supaya sentiasa peka dan menjaga kebersihan setempat bagi mengelakkan penyebaran penyakit seperti denggi terutamanya daripada tersebar, memupuk semangat kerjasama dan bermasyarakat dalam kalangan staf dan diharap mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan staf CUIC, ujarnya lagi.
Program yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu tamat pada pukul 11.30 pagi dan diakhiri dengan sedikit jamuan dan sesi bergambar.