CUIC-UUM, 27 Mei 2024 – Satu lawatan tapak projek penternakan siput sudu di Teluk Bayu telah dianjurkan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) yang turut dihadiri oleh Prof. Dr. Russayani Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah CUIC, En. Muhammad Husaini Salleh, Ketua Program, Prof. Madya Ts. Dr. Faizatul Akmar Abdul Nifa, Ketua Projek serta ketua Inisiatif Projek dan warga kerja CUIC.
Tujuan lawatan tapak ini diadakan bagi menilai kemajuan projek penternakan siput sudu, memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual, mendapat maklum balas daripada komuniti dan penternak mengenai cabaran yang dihadapi serta memberi sokongan dan panduan teknikal kepada penternak
En. Mahdir Bin Yahya yang merupakan pengerusi bagi peserta di lokasi Teluk Bayu menyambut baik kehadiran delegasi UUM ke kawasan penternakan tersebut. Delegasi UUM dibawa melawat rumah pemprosesan dan sangkar penternakan siput sudu yang terdapat di lokasi Teluk Bayu, Kuala Sungai Muda, Kedah. En Muhammad Husaini Salleh yang merupakan Ketua Program bagi projek ini bersama-sama Ketua Projek, Prof. Madya Ts. Dr. Faizatul Akmar Abdul Nifa telah menerangkan kemajuan projek kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi).
Menurut Prof. Dr. Russayani, komuniti perlu bersama-sama bersemangat dalam membantu menjayakan projek ini. “Projek yang dapat membantu komuniti ini akan diserahkan sepenuhnya kepada komuniti, jadi komuniti perlu lebih bersemangat untuk menjayakannya”
Sesi perbincangan diadakan antara penyelidik dan peserta program untuk membincangkan cabaran yang dihadapi serta mencari penyelesaian yang berkesan. Antara isu yang dibangkitkan adalah masalah bekalan benih siput, cadangan pertukaran lokasi dan pemasaran hasil ternakan.
Lawatan ini juga turut dihadiri oleh wakil peserta dari lokasi Teluk Bayu dan Pengkalan Tiram, Sungai Dedap. Sedikit cenderahati diserahkan kepada komuniti sebelum program berakhir. Program diakhiri dengan sesi bergambar dan sedikit jamuan ringan.
Kerjasama erat antara penyelidik dan peserta projek ini dijangka dapat mencapai kejayaan yang diharapkan serta memberi impak positif kepada ekonomi tempatan.