All News

KUNJUNGAN HORMAT MPUI BUKTI KOMITMEN CUIC KUKUHKAN HUBUNGAN UNIVERSITI-INDUSTRI

MPUI 3

 

UUM ONLINE: Dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara universiti dan industri, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan siri kunjungan hormat ke atas Ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI), Ts. Saipolyazan M. Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor dan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar dari Chambers of Zainul Rijal.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, kunjungan ini bertujuan bagi mengenal pasti peluang kolaborasi dalam penyelidikan, perundingan, latihan industri, serta pembangunan kurikulum.

MPUI 2

 

Selain itu, menurutnya, perjumpaan kali ini bertujuan mendapatkan pemahaman mendalam mengenai keperluan dan cabaran industri yang boleh dibantu oleh institusi akademik serta mewujudkan jaringan yang kukuh antara pemimpin industri dan akademik untuk pertukaran pengetahuan dan teknologi.

“Kunjungan ini merupakan langkah penting dalam memastikan kedua-dua pihak, universiti dan industri, dapat bekerjasama dengan lebih erat. Kami percaya bahawa melalui kerjasama ini, kita dapat membangunkan penyelesaian inovatif yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi negara.

“Ini juga menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha CUIC untuk merapatkan hubungan antara akademik dan sektor industri. Dengan sokongan dan komitmen daripada kedua-dua belah pihak, diharapkan lebih banyak inisiatif bersama dapat dilaksanakan untuk manfaat bersama serta kemajuan negara,” katanya.

Dalam pertemuan singkat itu juga, Dato’ Zainul Rijal dari Chambers of Zainul Rijal memberikan cadangan bagi mewujudkan Pusat Mediasi di utara tanah air.

 

MPUI 1

 

Pusat Mediasi dalam konteks undang-undang adalah institusi yang menawarkan perkhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif di mana pihak-pihak yang berkonflik dapat mencari penyelesaian secara sukarela dengan bantuan seorang mediator.

Dalam pertemuan itu, Dr. Chandrakantan telah menyerahkan surat lantikan ahli MPUI kepada Ts. Saipolyazan dan Dato’ Zainul Rijal.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh kedua-dua tokoh tersebut.