27 Mei 2024 – Satu program Komuniti telah dianjurkan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC). Program komuniti yang diberi nama “Kebersihan Tanggungjawab Bersama 2.0” ini telah diadakan di Teluk Bayu, Kuala Sungai Muda, Kedah. Program ini diadakan bagi membantu komuniti nelayan darat membersihkan kawasan rumah pemprosesan ternakan siput sudu di lokasi tersebut. Komuniti yang turut terlibat dalam program ini ialah belia, ibu tunggal serta golongan B40.
Program ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Russayani Binti Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidkan & Inovasi), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah CUIC serta warga kerja CUIC. Program yang diketuai oleh Pn. Nursyafinaz Shahidan, CUIC ini disambut baik oleh wakil komuniti Teluk Bayu.
Pihak CUIC dibawa ke lokasi penternakan siput sudu dengan menaiki bot. Sebelum aktiviti pembersihan bermula, sedikit taklimat ringkas telah diberikan oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah CUIC berkenaan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
“Saya berasa seronok menerima kehadiran pihak CUIC yang sudi membantu kami untuk membersihkan lokasi rumah proses ini” kata komuniti setempat, En. Adenan Bin Othman semasa program berlangsung.
Menurut En Azmin Syiham Ahmad Shatir, penjagaan kebersihan merupakan usaha yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan sokongan bersama oleh semua pihak. Program ini juga dapat membantu memupuk semangat cintakan alam sekirar dalam kalangan staf UUM terutamanya CUIC di samping dapat membantu komuniti setempat.
Program ini berakhir dengan penyerahan sedikit cenderahati kepada pihak komuniti.