All News

Komuniti Ladang Sempah, Pulau Pinang Diberi Ilmu Masakan, Pastri Dan Pembuatan Kek

OUTREACH KPT2

 

CUIC-UUM:  Kewujudan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak boleh terpisah daripada masyarakat setempat dan perlu memahami apa kegiatan kehidupan masyarakat. Universiti dan Kolej Komuniti juga hendaklah selari dengan peranannya mengupayakan masyarakat dalam menerima pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh itu, satu program Outreach KPT@Pulau Pinang telah diadakan pada 1-5 Julai 2024 di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Universiti Utara Malaysia (UUM) telah bekerjasama dengan Kolej Komuniti Nibong Tebal dan Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Pulau Pinang telah mengadakan program iaitu Kursus Pembuatan Kek Dan Pastri serta Kursus Memasak pada 1 Julai 2024 yang lalu bertempat di Dewan Surau Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi Pulau Pinang.

Kerjasama yang baik antara UUM dengan Kolej Komuniti adalah kerana Kolej Komuniti mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam menjalankan pelbagai program pendidikan dan latihan terutama dalam bidang teknikal.

"Kita percaya program ini dapat dikembangkan bukan saja kursus masakan dan pastri malah saya percaya program ini satu cara untuk menangani soal kos hidup yang tinggi.

"Kita memerlukan kearifan daripada IPT serta keupayaan dan sumbangan kepada komuniti untuk memastikan masyarakat boleh hadapi cabaran dan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata," Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM).

UUM dan Kolej Komuniti Nibong Tebal serta Kolej Komuniti Tasek Gelugor sering terlibat dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran untuk komuniti. Antara program adalah latihan kemahiran untuk membantu anggota komuniti meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tertentu seperti masakan, kek dan pastri dan banyak lagi.

Program ini hadiri oleh hampir 60 orang peserta yang terdiri daripada kaum ibu, warga emas dan pelajar sekolah di sekitar Ladang Sempah, Sungai Bakap Pulau Pinang.

Turut hadir pada program ini adalah Pengarah Kolej Komuniti Nibong Tebal iaitu En. Ahmad Munzir Zakaria, Pengarah Kolej Komuniti Tasek Gelugor iaitu Mohd Asri bin Ngalim, staf CUIC serta pelajar Kolej Komuniti.