All News

UUM dan Kolej Komuniti Wadah KPT Bantu Masyarakat Tingkat Taraf Hidup

OUTREACH KPT

 

CUIC-UUM: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Nibong Tebal, Kolej Komuniti Tasek Gelugor dan Kolej Komuniti Kepala Batas telah yang mengadakan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) sebagai usaha dalam memberikan impak positif kepada masyarakat.

UUM bersama 3 buah Kolej Komuniti baru-baru ini telah mengadakan Program Outreach KPT@Pulau Pinang pada 5 Julai 2024 bertempat di Puteri Gunong, Sungai Bakap Pulau Pinang yang merupakan inisiatif CSR yang menyaksikan pelajar dan staf terlibat dalam aktiviti program masakan, pembuatan kek dan pastri serta penyelenggaraan motosikal.

Melalui program ini, UUM dan Kolej Komuniti dapat mendekati ahli masyarakat yang memerlukan kemahiran baharu atau ilmu tambahan menerusi insiatif Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang menawarkan pelbagai kursus pendek dalam ikhtiar mereka untuk menambah pendapatan atau merubah kedudukan sosiekonomi mereka.

Dalam program ini, Kolej Komuniti Nibong Tebal dan Tasek Gelugor mengadakan program dengan kelas memasak dan pembuatan kek serta pastri secara percuma. Pengunjung program berpeluang untuk belajar teknik baru dan mempelajari lebih lanjut mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh kolej tersebut.

“Kami berbesar hati dapat menyertai program ini dan berinteraksi dengan komuniti. Ini adalah peluang terbaik untuk kami menunjukkan apa yang kami tawarkan dan menyokong inisiatif komuniti yang positif.” En. Ahmad Munzir Zakaria Pengarah Kolej Komuniti Nibong Tebal.

Menurut Penqarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, UUM dan Kolej Komuniti akan merancang untuk terus terlibat dalam acara-acara komuniti di masa depan sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan memperkasakan hubungan antara kolej dan komuniti. Selain itu, ini membantu meningkatkan profil IPT, mempromosikan program-program mereka, dan memperkuatkan hubungan dengan masyarakat tempatan.

Selain itu, pengisian program melibatkan aktiviti menukar minyak hitam dan penyelenggaraan motosikal secara percuma yang merupakan usaha Kolej Komuniti Kepala Batas dalam memberikan perkhidmatan berguna kepada masyarakat sambil memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar.

Program "Servis Motosikal Komuniti" yang dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman, terlibat secara aktif dalam memberikan servis motosikal kepada penduduk setempat. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran mereka sambil menyediakan perkhidmatan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Program Outreach KPT@Pulau Pinang ini telah dihadiri oleh ribuan penduduk disekitar Puteri Gunong, Sungai Bakap Pulau Pinang yang turut disertai oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

Turut hadir adalah staf CUIC, pelajar sukarelawan UUM dan pelajar Kolej Komuniti yang membantu menjayakan program ini.