CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan lawatan kunjungan hormat ke Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membincangkan kerjasama dan kolaborasi untuk membantu masyarakat India di negara ini melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan pendidikan, pembangunan sosial dan sokongan komuniti.
Pada pertemuan ini perbincangan menjuruskan kepada program-program UUM yang dapat membantu masyarakat India iaitu program penjanaan pendapatan, program pemasaran dan program keusahawanan bagi membantu usahawan India serta program pemerkasaan Matematik kepada murid-murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).
Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.
Menurut En. Prabagaran A/L Ganapathy, Ketua Pengarah MITRA unit ini tidak hanya fokus kepada golongan B40 namun golongan M40 juga tidak dipinggirkan yang turut menghadapi cabaran ekonomi, termasuk tekanan kewangan dan ketidakstabilan pendapatan, walaupun mereka tidak menerima bantuan yang sama seperti B40.
Kumpulan sasaran bagi program yang dijalankan oleh MITRA lebih tertumpu kepada pelajar unversiti bagi melahirkan pelajar yang holistik di samping program bersama komuniti setempat.
Pihak MITRA juga mencadangkan kepada pihak UUM untuk mengadakan program pemerkasaan pelajar (empowering program), program asas keusahawanan dan inkubator.
Program tersebut perlulah program yang berterusan (continuous) dan berkekalan (sustainable) yang dapat memberi impak dalam jangka panjang. Program yang dicadangkan juga perlu mempunyai kajian keperluan latihan komuniti India di kawasan Utara (need analysis).
Menurut Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) “Kolaborasi antara UUM dan MITRA diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan, pendidikan, dan integrasi sosial masyarakat India di Malaysia, memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang dan menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan”.
Turut hadir bersama Pn. Yashotha A/P Shanmugam (Pengarah Pendidikan & Latihan), En. Saravanan A/L Gogarajah (Pengarah Ekonomi & Kerjaya) dan En. Muhammad Husaini Salleh (Timbalan Pengarah CUIC).