CUIC-UUM: Sesi Pitching Projek Komuniti telah diadakan oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) pada 28 Ogos yang lalu secara atas talian yang dihadiri oleh 8 orang pensyarah dan dibentangkan kepada ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) iaitu En. Razi Pahlavi Abdul Aziz Pemegang Amanah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Amanie Care Foundation.
Sesi ini adalah bertujuan untuk mengetengahkan serta meningkatkan ketampakan projek-projek komuniti berimpak yang dijalankan oleh pensyarah UUM.
Pensyarah yang memberi sumbangan kepada komuniti bukan sahaja memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat tetapi juga mempromosikan penggunaan pengetahuan akademik untuk kebaikan bersama. Antara cabaran yang dikongsikan adalah dalam mendekati komuniti dan memperoleh dana untuk menjalankan projek.
Kerjasama antara universiti dan industri sering kali membawa manfaat besar kepada komuniti. Melalui kolaborasi ini, universiti dapat menyumbangkan pengetahuan akademik dan penyelidikan mereka, sementara industri menyediakan sumber dan aplikasi praktikal yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Melalui sesi pitching (lontaran) projek komuniti merupakan strategi yang efektif dalam membina hubungan yang kukuh antara universiti dan industri. Sesi pitching ini bukan sahaja membuka peluang untuk kolaborasi tetapi juga menggalakkan pertukaran idea, memanfaatkan sumber bersama dan menjana impak yang lebih besar untuk komuniti.
Sesi pitching projek ini membolehkan pensyarah mempersembahkan idea dan projek mereka kepada industri, dengan harapan akan mendapat sokongan dan kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Ini termasuklah potensi perolehan dana, sumber, pengkomersilan dan promosi.
Sesi pitching projek komuniti menjadi antara platform yang baik untuk memudahkan pemindahan ilmu antara universiti dan industri. Hasil kajian dan idea daripada pensyarah dibentangkan kepada ahli industri yang berpengalaman dalam menjalankan projek komuniti. Selain itu, pihak industri juga turut berkongsi pandangan praktikal dan keperluan komuniti yang dapat membantu pensyarah universiti untuk menjalankan projek komuniti yang relevan dan berimpak.
Sesi ini juga membolehkan industri melihat potensi projek komuniti dan memberikan maklum balas yang berharga untuk memastikan projek komuniti dapat dijalankan dengan jayanya.
Antara pensyarah yang membentangkan kertas cadangan projek komuniti adalah Prof. Dr. Fauziah binti Abdul Rahim, Prof. Madya Noraziah binti Che Pa, Prof. Dr. Norhafezah binti Yusof dan Prof. Dr. Tengku Faekah binti Tengku Ariffin. Turut hadir pada pembentangan tersebut adalah Prof. Dr. Rosna binti Awang Hashim, Pn. Nur Azzah binti Abu Bakar dan Dr. Mohd Adan bin Omar.
Sepanjang sesi tersebut, En. Razi Pahlavi telah memberi maklum balas yang konstruktif kepada setiap kertas cadangan serta nasihat mengenai bagaimana untuk memperbaiki dan mengembangkan idea-idea.
Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam menyatakan harapannya agar sesi pitching seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang dapat membantu mencetuskan idea-idea baharu dan memberi impak positif kepada masyarakat. Selain itu, ia juga dapat memaksimumkan potensi kerjasama antara universiti dan industri.
En. Razi Pahlavi mengucapkan ucapan tahniah kepada semua pensyarah yang membentangkan idea-idea yang sangat komprehansif untuk membantu komuniti. Tambahnya lagi, pembentangan dijalankan adalah jelas dan lancar dengan mengadaptasi pengetahuan dan kemahiran dari pensyarah.
Turut hadir Timbalan Pengarah CUIC, Muhammad Husaini Salleh.