All News

LATIHAN TINDAK BALAS KECEMASAN DI PUSAT KERJASAMA UNIVERSITI-INDUSTRI (CUIC)

gmbq berita latihan kecemasan min

 

CUIC-UUM: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah menjalankan latihan kecemasan pada 26 September 2024 yang lalu dimana latihan ini memberi tunjuk ajar kepada staf mengenai apa tindakan perlu diambil sekiranya keadaan kecemasan berlaku.

Senario latihan kecemasan dengan pengosongan Pejabat CUIC bermula tepat jam 9.30 pagi apabila simulasi bunyi siren loceng kecemasan diaktifkan.

Tujuan latihan ini diadakan adalah untuk mempraktikkan prosedur latihan kecemasan di pejabat. Latihan itu berlangsung kira-kira satu (1) jam dan semua staf telah mengambil bahagian. Selain itu, objektif latihan ini adalah menguji reaksi staf yang terlibat dalam situasi sebenar.

Latihan kecemasan ini membolehkan staf membiasakan diri dengan prosedur kecemasan dan tempat perhimpunan, supaya mereka boleh bertindak balas dengan betul sekiranya berlaku kecemasan sebenar.

"Saya menganggap latihan itu berjaya, tetapi sudah tentu kami mempunyai penambahbaikan dari segi mentadbir pertolongan cemas, peranan kakitangan, penyelarasan dan komunikasi," kata Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC). Beliau berkata lebih banyak latihan akan diadakan pada masa hadapan untuk menguji tindak balas terhadap situasi kecemasan.

Ketika menerangkan mengenai senario latihan, En. Mazlan Bin Ismail, Penolong Pegawai Keselamatan, Jabatan Keselamatan menjelaskan, pada dasarnya, ketika loceng kecemasan berbunyi staf perlu mengambil tindakan yang perlu dengan mengosongkan bangunan dan mengambil barangan penting bersama dengan tempoh masa yang ditetapkan.

"Latihan dijalankan tertumpu kepada melihat respon dari para staf serta komunikasi, pemindahan dan penyelarasan. Pada asasnya, dalam latihan ini kita mencari ruang-ruang yang harus diperbaiki, melihat sambutan bagaimana ianya dikendalikan, mencari kelemahan dalam pengendalian," ujarnya pada sesi temu bual yang berlangsung di Bilik Eureka, CUIC di sini.

Latihan kecemasan ini walaupun mencabar, boleh diuruskan dengan berkesan dengan perancangan dan latihan yang betul. Dengan memahami dan melaksanakan garis panduan yang diterangkan, organisasi dan individu boleh meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk hal kecemasan yang tidak disengajakan, mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat.

Latihan ini selesai dengan jayanya dan semua staf Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) kini tahu cara untuk bertindak balas dengan betul.