KUALA LUMPUR: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam telah mengadakan kunjungan hormat ke Maxis Berhad dalam usaha melestarikan fungsi utama CUIC sebagai pusat tanggungjawab yang menjadi penghubungan di antara akademia dan industri.
Dr. Chandrakantan berkata, sesi perbincangan kali ini memfokuskan kepada peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, antara topik utama yang dibincangkan adalah potensi kolaborasi dalam bidang latihan industri, pembangunan staf dan pelajar, serta penyelidikan dan perundingan.
Selain itu, katanya, Maxis Berhad turut menunjukkan minat dalam projek komuniti yang boleh dilaksanakan bersama CUIC.
“Ini merupakan satu langkah yang signifikan dalam usaha memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri.
“Pihak Maxis Berhad juga telah menawarkan pakej istimewa kepada pelajar dan staf UUM bagi produk rangkaian Maxis yang dijangka dapat memberi manfaat besar kepada warga kampus,” katanya.
Dalam pada itu, Maxis Berhad mengumumkan bahawa seramai 57 alumni UUM kini berkhidmat di syarikat tersebut, mencerminkan kepercayaan Maxis terhadap kualiti graduan UUM.
Kunjungan hormat ini diharapkan dapat membuka pintu kepada kerjasama yang lebih erat antara UUM dan Maxis Berhad dalam jangka masa panjang.
Perbincangan singkat selama satu jam ini diketuai oleh Ketua Strategi Korporat Maxis Berhad, Abdur Rahman Ansary dan turut disertai oleh wakil Maxis Berhad iaitu Toh Yin Li (Ketua Segmen Pemasaran Belia) dan Aisyah Aris (Young Talent Specialist), manakala CUIC disertai oleh Timbalan Jaringan Industri, Dr. Normalisa Md Isa.