All News

UUM KEKAL AHLI MAJLIS APUCEN BAGI SESI 2025-2027

APUCEN3

 

Chongqing, China, 23 Disember 2024:  Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) bagi sesi 2025-2027.

Pemilihan ini diumumkan semasa Mesyuarat Agung APUCEN yang berlangsung baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut dikendalikan oleh Sekretariat APUCEN yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM), selaras dengan penubuhan jaringan ini oleh USM pada Julai 2011.

APUCEN berperanan sebagai platform serantau untuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mempromosikan budaya pemerkasaan komuniti melalui penglibatan universiti. Fokus utamanya adalah intervensi merentasi pelbagai bidang kepakaran untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan komuniti.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif APUCEN, Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai. Pemilihan Ahli Majlis untuk sesi 2025-2027 dijalankan melalui undian oleh 102 institusi ahli dari 21 negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail, pelantikan semula ini merupakan satu penghormatan kepada sumbangan UUM dalam aktiviti dan peranan APUCEN.

Beliau menegaskan bahawa UUM kini semakin aktif dalam melaksanakan program pemindahan ilmu kepada komuniti setempat.

Ujarnya, pelantikan semula ini akan memberi motivasi untuk UUM terus memperkasakan program yang berteraskan komuniti.